Bisnes

Dapatkan khidmat nasihat tentang penjenamaan, pemasaran dan kerja sosial dari Matasura Services

Kehidupan

Perihal kehidupan serta tips. (Gambar di Pos Betau, Pahang)

Motivasi

Motivasikan diri anda! (Gambar di Asrama Darul Falah (ASDAF), Bukit Persekutuan Kuala Lumpur)

Makan Angin

Makan angin di dalam dan luar negeri. (Gambar di Yangon, Myanmar)

Isu Semasa

Isu semasa di Malaysia dan luar negara. (Gambar di perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis)

Thursday, September 15, 2016

Tips Pengurusan Wang Untuk Keluarga



Family financial management. Bila dah mula bekeluarga, budget semua dah kena bahagi sebahagian besar untuk famili. Ada yang pm tanya, macam mana nak bahagi masa, duit semua. Terus terang income takla besar sangat, tapi kalau pengurusan wang tu betul, insyaAllah semua boleh dirancang. Isteri saya juga suri rumah sepenuh masa. So elaun kena bagi besar sikit untuknya, supaya dia pun boleh buat dia punya pengurusan wang sendiri. Di sini saya kongsikan bagaimana saya uruskan wang setiap bulan.

Saya guna cara yang sama ramai orang guna. Idea ini saya dapat dari ibu saya, bahagikan wang ikut sampul. Dapat je gaji, bahagikan siap2 duit tersebut. Baki dari duit itu baru guna untuk diri sendiri. Untuk mudah kira, boleh kira dengan income RM1000. Contohnya jika perbelanjaan 1% untuk sekolah anak, bermakna allocate RM10 sebulan.

Belanja setiap bulan (42%)
Rumah dan maintainance = 3%
Sekolah anak = 1%
Poket Kindness = 1%
Tabung shopping dan jalan2 weekend = 5%
Elaun orang rumah = 23%
Bill elektrik, unifi dan takaful = 9%

Tabung longterm (51%)
Tabung sambung belajar = 3%
Tabung kindness niat untuk parents = 2%
Tabung bercuti melancong = 5%
Tabung investment = 15%
Simpanan Tabung Haji = 15%
Simpanan Tabung Haji anak = 3%
Tabung kecemasan = 8%

Untuk diri sendiri (7%)
Duit poket sendiri untuk makan, minyak kereta dan motor = 7%

Ada kelebihan dan kekurangan di sini. Jika ikut budget bulanan saya, saya tak merasa pakai kereta hebat, saya pakai kereta berumur 12 tahun yang sudah habis bayar tapi masih in good condition. So takda wow factor bila bawa kereta. Saya juga tak beli rumah, sebab orang rumah saya kata cukuplah kita bina rumah di syurga nanti, syukur :D

Percutian di hotel dirancang oleh orang rumah sendiri
Oleh itu jika nak start budget duit untuk keluarga, asingkan siap2 semua duit untuk tabung2 tertentu. Baki duit yang ada baru guna untuk diri sendiri. Jika rasa duit untuk diri sendiri tidak cukup, bolehlah buat side income macam kerja2 freelance atau kerja income yang mudah seperti ajar tusyen atau supply nasi lemak. Boleh tambah percent pada duit poket sendiri.

Lagi satu tips ialah, biarlah orang rumah yang simpan duit semua tu. Nanti bila nak guna tabung melancong, boleh minta orang rumah rancang ikut jumlah wang yang ada dalam tabung. Happy wife happy life!

Yang suka atau nak buat jadi rujukan, bolehlah like dan share.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Friday, August 5, 2016

8 Perkara yang Dapat Imarahkan Masjid

Gambar dipetik dari Google

Apabila kita menyebut masjid, perkara yang akan kita fikir ialah tempat melakukan ibadat, solat berjemaah dan mendengar ceramah. Tetapi sedarkah kita masjid juga dapat berperanan sebagai sebuah pusat komuniti kepada masyarakat. Menurut seorang pensyarah arkitek dari Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Spahic Omer mengatakan dalam bukunya masjid sebagai pusat komuniti telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Sesuai dengan peredaran zaman sekarang, masjid perlu diimarahkan menjadikannya sebuah pusat komuniti yang aktif yang dapat memupuk perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri. Sebuah masjid biasanya akan mempunyai kemudahan asas seperti ruang solat dalam dan tandas. Kemudahan ini sahaja sudah cukup untuk menjadikan masjid sebagai sebuah pusat komuniti yang penting. Di sini antara faktor serta cadangan yang dapat dilakukan untuk menghidupkan institusi masjid di negara kita.

1- Kelas Mengaji
Apa yang membuatkan orang ingin datang ke masjid ialah peranan masjid itu sendiri. Jika sebuah masjid mempunyai kelas mengaji atau pun Iqra sekali pun, ini pasti dapat menarik perhatian mereka yang ingin belajar mengaji, tidak kira di tahap asas mahu pun advance seperti tajwid dan taranum. Ada beberapa buah masjid malah surau yang menawarkan kelas mengaji kepada kariahnya dipelbagai peringkat umur.

2- Pusat Tusyen
Ramai anak-anak yang bersekolah akan mengambil kelas tusyen, tidak kira di pusat tusyen atau secara persendirian di rumah. Masjid merupakan sebuah tempat yang sangat sesuai untuk diadakan kelas tusyen. Kelas tusyen ini lebih kepada bimbingan serta ulangkaji apa yang telah dipelajari dan persediaan untuk kelas keesokan harinya. Kelebihannya lagi, selesai kelas tusyen, guru dan murid dapat terus solat berjemaah di masjid.


3- Pusat Hebahan Ilmu dan Maklumat

Seperti dua cadangan di atas melibatkan ilmu. Penggunaan media sosial dapat membantu pihak masjid menyampaikan maklumat serta ilmu kepada orang ramai dengan lebih meluas. Perkongsian tentang sejarah Nabi serta ilmu-ilmu lain seperti Muamalah dapat dikongsikan melalui media sosial. Facebook, Instagram, Twitter malahan Youtube boleh dijadikan medium untuk penyebaran maklumat serta dakwah kepada orang ramai. Komuniti Whatsapp juga bagus bagi mengeratkan lagi masyarakat kariah masjid tersebut.


4- Pusat gerakan NGO dan Program Komuniti

Masjid berperanan menyatu padukan umat. Masjid dapat dijadikan hub untuk NGO berkumpul dan berbincang bagi merancang aktiviti kemasyarakatan setempat. Pelbagai usaha telah dilakukan dengan kerjasama NGO dan pihak masjid seperti Pasar Percuma, Kursus Kahwin dan sebagainya. Program sebegini dapat menarik minat orang ramai untuk datang ke masjid.

5- Taman Permainan
Taman permainan dapat menggalakkan kanak-kanak untuk datang ke masjid. Lagi-lagi ibu bapa boleh bawa anak-anak mereka bermain di taman permainan dan boleh berjemaah bersama-sama ketika solat.

6- Perpustakaan Mini
Bagi masjid yang mempunyai ruang yang besar, perpustakaan juga dapat menggalakkan orang ramai untuk datang ke masjid. Cukup dengan meja dan kerusi, orang ramai yang bekerja sebagai freelance dapat datang ke perpustakaan ini untuk membuat kerja mereka dan pada masa yang sama solat on time. Para pelajar juga dapat menjadikan perpustakaan ini sebagai tempat untuk mengulangkaji. Jika dapat ditambahkan dengan komputer dan printer akan menjadikan perpustakaan ini lebih 'hidup'.

7- Gerai Berniaga
Ruang perniagaan seperti gerai makan, dobi, kedai alat tulis juga boleh disediakan dalam kawasan masjid. Ini dapat menjadikan pendapatan untuk masjid disamping menggalakkan orang ramai untuk datang ke masjid. Kedai dobi syiling juga sangat bermanfaat. Orang ramai tidak perlu menunggu kosong disebaliknya dapat mengaji quran atau berzikir lagi-lagi apabila berada di perkarangan masjid. Kedai alat tulis pula sangat kurang sejak akhir-akhir ini. Jika ada mesin fotostat, kelengkapan binding, servis gambar passport sudah mencukupi untuk keperluan masyarakat setempat. Kedai menjual buku serta peralatan agama juga digalakkan.

8. Perkhidmatan Wifi
Perkhidmatan wifi ini antara servis yang semakin popular. Sudah terdapat masjid yang mempunyai mempunyai wifi percuma. Ruang rehat di beranda masjid boleh dijadikan tempat untuk berehat sambil menggunakan internet sementara menunggu masuknya waktu solat.

Pelbagai lagi idea lain dapat dilakukan untuk membuatkan masjid tarikan orang ramai untuk hadir. Walau bagaimanapun, idea yang diberikan di atas akan melibatkan kos, dana dan memerlukan sumber tambahan kepada pihak masjid. Namun begitu, sudah pasti ada solusi untuk setiap cadangan dan cabaran. Kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Baitulmal dan juga NGO dapat memudahkan lagi misi untuk imarahkan masjid. Semoga masjid di negara kita bukan sahaja gah dari segi struktur binaannya, tetapi meriah dengan kehadiran orang ramai yang mengimarahkannya.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Wednesday, August 3, 2016

Kenali 7 Pekerja Toksik Yang Perlu Anda Hindari



Hampir semua pejabat mempunyai politiknya tersendiri. Politik pejabat ini adakalanya memberi impak yang positif dengan menggalakkan persaingan secara sihat, tetapi tidak kurang juga mampu membuatkan prestasi pekerja menurun. Menurut kajian di Universiti Harvard, pekerja toksik sangat merbahaya kerana sikap mereka ini boleh mempengaruhi orang sekeliling dan paling kritikal jika bos juga terpengaruh dengan mereka. Kesan daripada pekerja toksik ini sebenarnya merugikan syarikat dalam pelbagai aspek seperti kos, masa dan tenaga. Bagaimana untuk kenali pekerja-pekerja toksik ini? Di sini dikongsikan jenis pekerja toksik.

1. Kuat Mengampu
Ini adalah masalah yang paling besar dalam pejabat. Bagi sesetengah pejabat, seorang ketua yang bagus tidak akan menghiraukan pekerjanya yang kuat mengampu, tetapi lebih fokus kepada pencapaian mereka. KPI itu penting. Orang yang kuat mengampu ini biasanya tidak akan mempunyai pencapaian yang bagus, tetapi akan mengampu ketuanya dengan harapan dapat mengaburi pencapaiannya malah untuk mendapatkan apa yang diingini. Dan baginya, "Yes Boss" seolah-olah yes boss all the time walaupun cadangan ketua itu ada kepincangan dan perlu dibaiki.

2. Dahagakan Pujian
Bekerja dalam dunia korporat biasanya memerlukan kerjasama yang tinggi. Setiap individu akan memainkan peranan yang penting bagi menjayakan sesebuah projek atau task. Tapi pada masa yang sama, ada pekerja yang ingin pujian itu lebih kepadanya kerana merasakan diri lebih bagus daripada orang lain. Ini juga bahaya kerana sikap sebegini akan menurunkan tahap motivasi pekerja dalam pejabat.

3. Suka Mengungkit
"Kau kena ingat, disebabkan aku, kau dapat tawaran kerja di sini." Sekiranya anda menghadapi masalah ini, sebaiknya anda terus tukar tempat kerja atau pindah ke department yang lain. Sikap suka mengungkit ini akan terus lumpuhkan motivasi seseorang untuk bekerja dengan lebih rajin. Lebih-lebih lagi jika yang suka mengungkit ini datang dari senior atau superior anda.

4. Talam Dua Muka
Depan cakap lain, belakang cakap lain pula. Ini satu lagi toksik yang perlu anda hindari. Paling teruk apabila rakan sekerja yang dipercayai yang mempunyai sifat sebegini. Tanda-tanda yang jelas untuk kenali talam dua muka ialah apabila mereka tidak tahu yang kita tahu dia sedang berbohong.

5. Tidak Amanah
Tidak amanah ini selalu dikaitkan dengan duit. Pinjam duit tetapi tidak "pandai" untuk bayar balik. Belanja besar, sanggup beli yang berjenama tetapi pada masa yang sama hutang dengan rakan sepejabat belum dilangsaikan. Malah jika menipu claim, disuruhnya rakan untuk tolong cover line sekali. Sebaiknya, elaklah orang sebegini bagi menjamin fikiran yang tenang.

6. Selalu Negatif
Apa sahaja yang keluar dari mulutnya mesti sesuatu yang negatif. Orang itu salah, orang ini tidak betul. Ini juga bahaya. Harus diingatkan, seseorang yang boleh bercerita tentang keburukan orang lain kepada anda, bererti mereka juga boleh bercerita tentang keburukan anda kepada orang lain. 

7. Selalu Rasa Betul
Pekerja sebegini susah untuk bekerjasama terutama sekali apabila memerlukan teamwork. Pendapat orang lain tidak diterima lagi-lagi yang berjawatan lebih rendah daripada mereka. Idea orang lain dianggap enteng dan ideanya pula perlu didengari oleh semua pihak. Situasi sebegini boleh dilihat terutama sekali dalam bilik mesyuarat.

Mengapa kita perlu hindari pekerja toksik kerana apa yang penting di tempat kerja ialah kepuasan bekerja. Kepuasan bekerja dapat menjadikan suasana pejabat itu lebih harmoni dan secara tidak langsung akan meningkatkan prestasi secara menyeluruh. Sekiranya anda menemui pekerja toksik di tempat kerja anda, cepat-cepatlah bertindak yang sepatutnya sebelum terlambat.
Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...